RSS Feed for This PostCurrent Article

Pinda atau Mansuhkan ISA? – Antara Kepentingan Pemerintah dan Hak Tahanan

Tentangan terhadap penguatkuasaan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau Internal Security Act (ISA) adalah antara kemelut yang berlaku dalam sistem, perundangan dan politik di Malaysia. Akta yang membolehkan seseorang yang disyaki terbabit dalam kegiatan yang boleh menjeaskan keselamatan Negara ‘ditahan tanpa bicara’ ini terus digunakan walaupun ia dari semasa ke semasa menjadi isu politik.

Terdapat pandangan supaya akta ini dipinda atau dimansuhkan. Walaupun Ordianan Darurat telah dimansuhkan selepas tamatnya darurat pada 30 Julai 1960 tetapi ‘kuasa menahan tanpa bicara’ masih dikekalkan di bawah Peraturan 17 Ordinan Darurat dan dimasukkan dalam Bahagian II ISA.

Dalam tempoh 48 jam, ordinan ini sudah pun dpinda sebanyak 20 kali. Antara pindaan akta ini yang dilihat tidak berlaku adil terhadap tahanan ialah apabila pada 1989 salah satu seksyen dalam akta ini dipinda dan sekaligus menafikan hak tahanan untuk merujuk kepada mahkamah. Pindaan yang dibuat itu menyingkirkan kuasa semakan mahkamah dalam hal bersangkutan dengan kuasa Menteri iaitu di bawah seksyen 73 (1)* untuk menahan seseorang di bawah akta ini.

Banyak usaha yang dijalankan oleh segolongan pihak tertentu di kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyatakan tentangan mereka terhadap penggunaan akta ini di Negara seperti Malaysia. Sebagaimana kata pengamal undang-undang, Fadilah Nadwa  Fikri, yang merujuk kepada peluang tahanan untuk membuat rayuan kepada mahkamah tinggi untuk mendapatkan perintah ‘habeas corpus’ adalah sia-sia. Ia semata-mata satu prosedur dari segi teknikal tanpa mahkamah mempunyai hak untuk mengeluarkan memanggil saksi untuk mengadili orang yang ditahan terhadap tuduhan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri bahawa penahan itu atas sebab keselamatan Negara.

Menyumbat tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak, tanpa berpeluang untuk membela diri di atas tuduhan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri sendiri adalah salah satu ketidakadilan dan tidak menepati prinsip perundangan untuk menahan seseorang dengan menafikan hak membela diri.

Fadilah Nadwa menjelaskan ISA tidak lagi relevan kerana ketika ia mula digubal akta ini digunakan untuk menghalang ancaman komunis dan sebagai ‘emergency law’ saja. Akta ini tidak akan terpakai jika berlaku kes jenayah, orang yang dituduh perlu dibawa ke muka pengadilan dan hakim akan menentukan kesalahan mereka. Katanya, “tanpa akta ini kita bukan mengatakan, kita galakkan keganasan yang mengganggu gugat keselamatan awam dan Negara kerana di mana-mana Negara sekalipun pasti ada puak pelampau yang melakukan keganasan.

“Di Malaysia, kita mempunyai sistem perundangan yang terbaik untuk menangani isu keselamatan negara, iaitu melalui undang-undang Kanun Jenayah. Tetapi sejak kebelakangan ini Akta ISA kerap digunakan menjurus kepada kepentingan politik,” jelasnya yang merujuk kepada beberapa kes termasuk ahli politik, wartawan dan pengendali blog tahun lalu. Jelasnya, seseorang yang ditahan mengikut ISA, boleh memfailkan ke mahkamah tinggi jika menganggap penahannya salah di sisi undang-undang antarabangsa dan pelanggaran Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat tetapi oleh kerana pindaan yang dilakukan pada 1989, menghalang orang yang dituduh untuk membela diri.

Had Kuasa Pemerintah

Dalam sistem perundangan British yang diamalkan di Malaysia selepas negara merdeka, sistem demokrasi parlimen di negara ini, dibahagikan kepada tiga iaitu, badan perundangan (legislatif), kehakiman dan eksekutif yang mempunyai bidang kuasa dan peranan masing-masing dalam pentadbiran negara.

Dalam Islam, badan eksekutif (As Sultatut Tanfiziyyah) dan badan perundangan (As Sultatul Qadhiyyah) mempunyai bidang kuasa dan pendekatan berbeza dalam menjalankan peranan masing-masing. Dalam Islam, Ulil Amri atau pemerintah wajib ditaati tetapi hanya kepada pemerintah yang taat kepada Allah Subhanahu wa Taala dan Ar Rasul yang mengeluarkan perintah yang bertepatan dan tidak bercanggah dengan undang-undang dan peraturan Islam.

Memetik pandangan di kalangan ulama yang membicarakan mengenai sistem politik Islam atau ‘As Siyasah Syar’iyyah’ telah menghuraikan peranan serta bidang kuasa pemerintah (eksekutif) dalam menjalan tugasnya. Antara yang menjadi bidang kuasa pemerintah adalah kuasa hisbah. Ini merangkumi tanggungjawab mengeluarkan perintah dan peraturan yang bertujuan menjaga kepentingan umum, menguatkuasakan peraturan keselamatan negara, ketenteraman awam, ekonomi, pengangkutan, perusahaan dan sebagainya.

Menjelaskan kuasa hisbah ini Ibnu al Qayyim Al Jauziyyah dalam kitab tulisannya At Thuruqul Hukmiyyah menyatakan: “Hukum-hukum yang dijalankan di bawah kuasa hisbah adalah hukum syarak. Hukum itu mempunyai kaedah pelaksanaan di sisi syarak. Kepentingan umat mungkin tidak dijaga dengan sempurna tanpanya. Pelaksanaan seperti ini tidak memerlukan pendakwa dan orang yang didakwa. Jika prosedur sedemikian tidak dilaksanakan maka kepentingan umat akan musnah dan sistem pemerintahan akan menjadi kucar-kacir. Pihak berkuasa boleh menjalankan kuasa ini berasaskan petanda alamat yang jelas yang boleh dijadikan keterangan (circumstantial evidence).”

Daripada keterangan Ibnu al Qayyim itu, mengikut kuasa hisbah ini, menunjukkan kuasa pemerintah antaranya ‘boleh menahan seseorang tanpa bicara’ atas sebab kepentingan umum dan keselamatan negara mengikut petanda yang jelas. Manakala, Al Imam Al Qarafi pula menyatakan, “Ketua negara kuasa kehakiman dan kuasa mengeluarkan fatwa. Pemerintah juga boleh melakukan perkara yang tidak bersifat fatwa dan kehakiman seperti menghimpun tentera, mengisytiharkan peperangan, memungut hasil dan membelanjakannya pada tempat yang betul, melantik pegawai, membunuh penderhaka iaitu tugas yang tidak boleh diluluskan oleh hakim juga mufti.”

Menghuraikan persoalan ini Dr. Saud bin Said Al Duraib dalam bukunya, At Tanzim Al Qada fi Al Mamlakah As Saudiyyah pula menyatakan, “Seseorang ketua negara dengan eksekutifnya boleh mengeluarkan perintah membekukan harta atau membelanjakannya. Ia juga boleh mangasingkan apa saja yang menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar Radiyallahuanhu terhadap Sobiq bin Asal kerana usahanya mengelirukan orang ramai mengenai Al Quran. Pemerintah juga boleh menahan dan membuang daerah sesiapa yang pada pandangannya boleh memudaratkan masyarakat.”

Justeru adalah nyata beberapa perbincangan ulama itu, penahanan tanpa bicara ‘diharuskan’ dalam kes harta benda sebagaimana kenyataan Dr. Saud itu. Dalam kes yang membabitkan ‘keamanan dan keselamatan negara’ dalam sebuah masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia ini, tindakan sedemikian rupa adalah ‘harus’ dilakukan demi menjaga maslahat dan kepentingan umum, undang-undang ISA terpakai.

Apabila larangan dilaksanakan oleh pemerintah, maka wajib ke atas umat Islam pula mentaatinya dan haram bagi mereka mengingkarinya seperti yang dinyatakan oleh Asy Syeikh Khalid bin Ali Al Anbari, “Wajib taat kepada pemerintah Islam apabila ia mengehadkan penggunaan perkara yang harus, yang mana pada pandangannya larangan berkenaan demi kepentingan umum. Sesungguhnya Saidina Umar pernah memerintahkan Abu Dzar supaya keluar dari Negeri Syam dan menetap di Madinah.” Manakala adalah haram mentaati Ulil Amri yang mengeluarkan perintah atau undang-undang yang bercanggah dengan peraturan Islam.

Ini bertepatan dengan ajaran Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dalam sebuah hadis yang bermaksud: ” Tiada ketaatan dalam keadaan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara makruf” (Sahih Al Bukhari 9/109: Sahih Muslim, Bab Al Imarah 8/39).

HAK TAHANAN

Syed Ibrahim Syed Noh

Bagaimanakah pula hak tahanan?

Wajarkah mereka ditahan tanpa dibicarakan? Berdasarkan pengawasan laporan Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) sehingga Disember 2008, terdapat 46 orang tahanan ISA, di kem tahanan.

Kebanyakan mereka dituduh sebagai ekstremis agama manakala sebahagian lagi atas tuduhan memalsukan wang atau dokumen dan aktivis Hindraf.

Ulama Al Mawardi dalam kitabnya Al Ahkam As Sultaniyyah menyatakan bahawa tindakan menahan tanpa bicara hanyalah boleh diambil oleh ‘Amir’, yakni kuasa kuasa eksekutif.

Manakala ‘Qadhi’ atau hakim hanya boleh mengenakan hukuman seksaan setelah disabit tuduhan dalam perbicaraan di mahkamah mengikut prosedur keterangan yang ditetapkan oleh undang-undang.

Apabila kuasa badan kehakiman dalam sistem demokrasi di Malaysia ini tidak lagi memiliki kuasa bagi memastikan tahanan diadili oleh hakim di mahkamah yang tidak terdapat dalam akta ini, apakah kenyataan Al Mawardi ini secara automatiknya ditolak oleh badan eksekutif apabila menafikan bidang kuasa badan kehakiman?

Sedangkan prinsip perundangan barat dan Islam sememangnya tidak mengiktiraf ‘menahan tanpa bicara’ tanpa dibuktikan kesalahan tahanan terlebih dahulu walaupun pemerintah mempunyai hak untuk melakukannya sebagaimana kuasa hisbah.

Desakan untuk memansuhkan akta ini oleh sebahagian masyarakat kerana dakwaan yang mengatakan bahawa setiap tangkapan yang dilakukan itu tidak mempunyai bukti kukuh untuk ‘menuduh’ atau ‘mengesyaki’ seseorang itu terbabit dalam jenayah yang boleh mengganggu gugat kepentingan awam dan negara. Ada dakwaan kononnya kuasa badan eksekutif menggunakan ISA untuk ‘menggertak’ dan ‘menakut-nakutkan’ individu terbabit terutamanya jika mereka menentang dasar kerajaan dan kepentingan badan eksekutif itu.

Di kalangan pengkritik akta ini, mereka mendakwa jika kerajaan tidak mempunyai hujah yang konkrit, adalah tidak berhak menahan tanpa bicara individu terbabit. Tindakan sedemikian hanya mengundang kemusykilan rakyat terhadap motif penangkapan yang dilakukan oleh polis.

Firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada sesuatu kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” Surah Al Hujurat 49 ayat 6.

Ayat di atas membawa maksud jelas bahawa Islam amat melarang umatnya membuat tuduhan palsu berdasarkan syak wasangka tanpa bukti.

Ibnu Al Qayyim dalam kitabnya At Thuruqul Humiyyah menyatakan, “Pihak berkuasa boleh menjalankan kuasa berasaskan petanda dan alamat yang jelas yang boleh dijadikan keterangan.”

Bnayak dakwaan terhadap tahanan di bawah akta ini gagal dibuktikan sama ada mereka terbabit secara langsung terhadap apa yang disebut sebagai ‘mengganggu gugat keamanan negara’ apabila undang-undang di bawah akta ini hanya berlandaskan syak wasangka semata-mata tanpa dapat pembuktian yang nyata oleh pihak polis terhadap semua tuduhan tanpa dibuktikan di mahkamah.

Timbalan Presiden Pertubuhan Jamaah ISlah Malaysia (JIM) yang juga penggerak kepada Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, berpendapat ISA perlu dimansuhkan.

Dakwaan beliau bahawa akta ini, melanggar prinsip keadilan dalam perundangan yang mana mereka yang ditahan dan dinafikan hak untuk diputuskan ‘tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahannya’. Mereka, dinafikan membela diri, mendapatkan khidmat guaman dan boleh ditahan selama-lamanya tanpa dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, menuduh tanpa sebarang bukti adalah haram di sudut syariah kerana ia sendiri menyebabkan keadaan huru-hara kepada keluarga tahanan dan kurangnya keyakinan terhadap badan eksekutif dan pihak polis.

“Kerajaan harus menegakkan prinsip keadilan Islam yang rasional berbanding sentimen perkauman yang rapuh dalam menjaga kemaslahatan ummah. Ini kerana terdapat tahanan yang dipenjarakan lebih dari tempoh dua tahun dan bergantung kepada budi bicara Menteri Dalam Negeri,” ujarnya.

Malah, tegasnya, kerajaan seharusnya boleh menangani isu ISA ini dengan pelbagai akta lain yang sedia ada dalam sistem perundangan di negara ini.

Apabila adanya cadangan daripda badan bukan kerajaan (NGO) agar meminda seksyen 73 (3)** untuk mengurangkan tempoh tahanan kepad a30 hari, Syed Ibrahim berpandangan, ia tidak akan memihak kepada tahanan kerana kuasa Menteri Dalam Negeri masih boleh memanjangkan tempoh tahanan kepada dua tahun atau lebih tanpa tahanan dibicarakan. Dalam perlembagaan negara dicatatkan mengenai hak keadilan dan perlindungan sama rata bagi semua rakyat di sisi undang-undang. Ia semakin dinafikan kerana kerangka Akta ISA itu sendiri tidak memihak kepada badan kehakiman untuk mengadili tahanan.

Apabila kedudukan badan eksekutif ini dicabar ata platform politik dan perlauman maka itu ISA dilihat masih relevan walaupun dari segi perundangan dunia ‘ menahan tanpa bicara’ adalah melanggar prinsip perundangan hak dan kebebasan individu.

Negara yang mengamalkan sistem demokrasi, tidak seharusnya menolak hak untuk bersuara dan berbeza pendapat di kalangan rakyat.

Justeru apabila berlakunya tentangan terhadap kuasa badan eksekutif di kalangan rakyat terhadap ‘ketidakadilan’ dari sudut perundangan dan hak bersuara yang dinafikan melalui penggunaan Akta ISA, ia amat bertentangan dengan firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud:

Dan jika dua pihak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah pihak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” Surah Al Hujurat 49 ayat 9.

—————————————-

Nota:

* Seksyen 73 (1)

“Mana-mana pegawai polis boleh menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana orang sebelum selesai siasatan yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk dipercayai:

  • bahawa ada alasan yang akan menjustifikasikan penahanannya  di bawah Seksyen 8 dan
  • bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan yang perlu didalamnya atau kepada kehidupan ekonominya.”
  • * Seksyen 73 (3)

“Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini boleh ditahan selama tempoh tidak lebih enam puluh hari tanpa suatu perintah tahan dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8.”

Seksyen 8 (1)

“Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang adalah perlu dengan tujuan mencegahnya daripada bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggara perkhidmatan perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya, Menteri boleh membuat perintah (yang kemudian disebut perintah tahanan) mengarahkan bahawa orang itu di tahan bagi apa-apa tempoh tidak lebih daripada dua tahun.”

Wartawan Milenia Muslim
Dalia Ismail
Majalah Milenia Muslim
Keluaran April 2009

Trackback URL



Post a Comment

  • Meta

  • Archives

  •  

    April 2009
    M T W T F S S
    « Mar   May »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930