Taqwa Inti Kehidupan
By ejsnfauzan on Sep 8, 2008 in Books, Reality, Religion, Science, Travel, Weblogs, relax
TAQWA INTI KEHIDUPAN
Oleh
NORAZMI B MAT NOH
Tulisan ini adalah dikirim oleh penulis sendiri sebagai perkongsian kepada saya. Dia adalah juga sahabat kepada saya.
Taqwa dan Sumber Rezeki
Allah s.w.t.
berfirman dalam surah at’Talaq ayat 2-3, “Barang
siapa (ana cadang - sesiapa
sahaja) yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan adakan baginya jalan keluar
dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka
kepadanya.”
Mengikut sahabat
Abdullah bin Mas’ud, ayat ini adalah “formula penyelesaian masalah yang
teragung di dalam Quran”. (1)
Sebagai kakitangan
syarikat, kita tidak terlepas dari memikirkan tentang sumber rezeki serta gaji
yang akan kita terima setiap bulan dari pekerjaan kita. Namun, kita berhadapan
dengan persoalan samada memilih jalan mudah yang kerap kalinya salah atau jalan
kebenaran yang penuh dengan onak dan duri.
Disinilah pihak
syarikat memerlukan integriti setiap kakitangan. Allah s.w.t. di dalam ayat di
atas telah memberikan formula penyelesaian teragung dari Quran, iaitu TAQWA
kepada Allah. Dengan Taqwa, Allah s.w.t menjanjikan jalan keluar kepada segala
masalah dan pengurniaan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. Dan
siapalah yang lebih baik janjiNya selain daripada yang empunya punca rezeki dan
yang mengetahui segala masalah lahiriah dan batiniah.
Taqwa memberikan
kita neraca (furqan) dalam memilih rezeki yang halal lagi berkat berbanding
dengan rezeki yang haram. Pilihlah jalan taqwa kerana Allah berjanji untuk
memberikan rezeki kepada kita dari sumber yang tidak kita sangka!
Apa itu Taqwa?
Perumpamaan yang
mudah bagi mengenal taqwa adalah ibarat dua biji belon, sebiji diisi dengan gas
helium sementara sebiji lagi di tiup dengan udara biasa. Sudah pasti belon yang
berisi helium akan terbang ke langit sementara belon berisi udara akan jatuh ke
bumi. Begitulah kiasannya perbezaan antara seorang manusia yang bertaqwa dengan
seorang yang tidak bertaqwa (2). ” Sesungguhnya orang yang paling mulia antara
kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa” (Al Hujurat ayat 13)
Taqwa dan Nilai-Nilai Bersama
PETRONAS
Sahabat Ubai bin
Ka’ab apabila ditanya oleh Saidina ‘Umar Al-Khattab akan maksud taqwa,
merumuskan taqwa sebagai “berhati-hati dan bersungguh-sungguh” dalam melalui
kehidupan agar seorang muslim itu tidak melakukan perkara yang haram dan
bersungguh-sungguh melaksanakan setiap ibadah kepada Allah (3). Apabila kita
meninggalkan perkara yang haram, disitulah terserlah integriti seseorang
individu. Manakala taqwa turut menuntut kita supaya bersungguh-sungguh didalam
melakukan tugasan kita. Ternyata taqwa bukan sahaja melahirkan integriti,
bahkan membentuk seorang pekerja yang cemerlang dunia dan akhiratnya.
Nilai Taqwa ini
melahirkan insan muslim yang sentiasa mementingkan kebersamaan (cohesiveness)
sesama kakitangan muslim dalam mentaati perintah Allah, serta mempunyai
integriti yang tinggi menggunakan neraca Taqwa. Lantas melahirkan kesetiaan
(loyalty) yang mutlak kepada Allah sebagai Empunya Khazanah Bumi (petroleum)
dan sikap profesionalisma yang tiada tolok banding dalam melaksanakan tugas
dalam ertikata ibadah yang sebenarnya.
Bahkan, taqwa menuntut
neraca integriti yang lebih tinggi daripada neraca syarikat, sehinggalah kepada
penggunaan masa dan sumber syarikat untuk tujuan yang lain selain daripada
mencapai tujuan syarikat. Seperti contoh; seorang kakitangan muslim tidak akan
melakukan solat sunat ba’diyah zohor selepas pukul 2.00 petang kerana telah
masuk waktu bertugas. Dari segi awlawiyat (keutamaan), taqwa menuntut beliau
untuk melakukan yang wajib (bekerja) atas yang sunat (solat sunat). Jelas kini,
tingkatan integriti ada kaitan terus dengan tingkatan taqwa.
Taqwa dan Perubahan Minda dan
Tingkahlaku (Mindset & Behaviour Change)
Nabi bersabda
“Taqwa itu di sini (dan baginda terus menunjukkan kepada dada baginda)” riwayat
Imam Muslim.
Imam Al Ghazali
didalam Ihya Ulumuddin pada bab Huraian
Keajaiban Hati berkata, “Hati ialah raja bagi manusia…”
PETRONAS dalam
mengenalpasti perubahan minda dan tingkahlaku sebagai kunci kejayaan Agenda
Korporat mengambil pendekatan yang selari dengan maksud hadith di atas serta
saranan Imam Al Ghazali. Seorang kakitangan yang bertaqwa, akan mengalami
perubahan minda dan tingkahlaku sepertimana yang dikehendaki oleh PETRONAS. Perubahan
ini juga akan kekal kerana ianya bermula dari hati, raja bagi manusia.
Taqwa dan Agenda
Korporat
Taqwa akan membawa
PETRONAS dalam mencapai cita-cita sebagai Jaguh Dunia (Global Champion).
Allah s.w.t.
berfirman dalam surah Ali ‘Imran ayat 110, “Kamu adalah umat yang terbaik
yang dilahirkan untuk manusia,menyuruh kepada yang makruf, mencegah dari yang
munkar dan beriman kepada Allah,” telah menjanjikan gelaran “Khaira Ummah”
ataupun Jaguh Dunia kepada sesiapa yang melaksanakan apa yang dituntut oleh
ayat ini.
Oleh itu, hasrat
PETRONAS untuk menjadi Jaguh Dunia adalah syarii dan selari dengan kehendak
Allah s.w.t. yang mahukan hambaNya menjadi ummah yang terbaik.
Taqwa dan Amanah
PETRONAS
melaungkan slogan “Amanah diterima, Amanah dimanfaatkan, mengilhamkan insan
dimana jua” (Energy receive, energy return, aspiring people everywhere)
Dengan taqwa,
amanah yang dimaksudkan ialah amanah yang dipikul oleh setiap kakitangan dalam
memastikan khazanah milik Allah ini digunakan dengan sebaik mungkin dan menjadi
rahmat kepada seluruh alam dan bukan sebaliknya mencemar bumi dan manusia.
Inilah hakikat mensyukuri nikmat yang sebenarnya.
Bagaimana Mencapai Taqwa
Setelah kita
menyedari betapa pentingnya taqwa di dalam kita membentuk individu yang
berintegriti, bagaimanakah hendak kita bentuk taqwa di dalam diri?
Hati adalah
merupakan tapak semaian taqwa yang terbaik. Umat Islam terdahulu berjaya
membina keagungan kerana memulakan perubahan dari dalam iaitu hati. ”Sesungguhnya
Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka merubah
DIRI mereka sendiri”. Sebagai Raja bagi manusia, hati menentukan pergerakan tentera-tentera
zahir dan batinnya menurut kehendak hati. Hiasilah hati dengan taqwa.
Hati yang digilap Taqwa
Abu Laith
As-Samarqandi didalam kitab Tanbihul Ghafilin mengutarakan lima penawar yang
dapat membersihkan hati:
- Bergaullah dengan orang-orang yang saleh
- Sentiasa membaca Al Quran
- Memelihara perut dari makanan yang haram
- Melakukan solat malam
- Selalu berzikir dan berdoa kepada Allah
terutamanya di waktu subuh.
Namun demikian,
kita juga harus menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang akan mengeruhkan
hati. Ibrahim bin Adham berpesan ada lapan perkara yang akan mematikan hati:
1. Mengetahui hak
Allah tapi tidak menegakkannya
2. Membaca Al Quran
tetapi tidak melaksanakan suruhannya
3. Mencintai nabi
tetapi mengabaikan sunnahnya
4. Takutkan mati
tetapi tidak mempersiapkan diri
5. Mengatahui syaitan
adalah musuh, tetapi ghairah mengikut kehendaknya
6. takutkan neraka
tetapi melakukan maksiat
7. Inginkan syurga
tetapi tidak beramal saleh
8. Kekurangan diri
sendiri dilupakan tetapi kekurangan orang diketengahkan.
Marilah kita berusaha untuk menggilap hati kita dan menjauhkan diri dari
perkara yang mematikan hati kita. Semoga Allah s.w.t. memberikan kekuatan.
Ramuan bagi memantapkan hati ialah dengan ilmu, mujahadah dan zikrullah (terangkan juga apa itu zikrullah secara ringkas – mengingati
Allah).(4) Hendaklah kita berilmu berlandaskan Al Quran dan sunnah
rasulullah s.a.w. dalam mencari taqwa. Setelah itu kita harus beramal dengan
bersungguh-sungguh serta bermujahadah di atas jalanNya. Kunci kepada mujahadah
ialah dengan zikrullah. ”Hanya dengan zikrullah, hati akan menjadi tenang”.
Didalam kita beramal atas segala ajaran Al Quran dan sunnah, kita mestilah
sentiasa bermujahadah atas segala rintangan yang mendatang. Ubat yang paling
mujarab ketika ditimpa musibah dalam jalan mujahadah ialah zikrullah.
Sesungguhnya Allah s.w.t. mengetahui segala isi hati. Mengadulah kepadaNya.
Tiang Seri Taqwa
Allah s.w.t berfirman didalam surah Al Baqarah ayat 3-5, ”Mereka beriman
dengan yang ghaib, mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian rezeki yang
Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka beriman kepada kitab yang di
turunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya kehidupan di akhirat.
Merekalah orang yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah
orang-orang yang beruntung”
Berasaskan ayat-ayat di atas, taqwa terbina daripada tiang-tiang seri
seperti berikut: (5)
- Beriman dengan yang ghaib (Rukun Iman)
- mendirikan solat
- menafkahkan sebahagian rezeki
Setelah terbinanya tiang seri ini, barulah terbentuk sebuah bangunan taqwa
berpandukan keimanan kepada kitab-kitab dan adanya hari Pembalasan baik dan
buruk.
Hasil kepada beriman dengan yang ghaib dapat dilihat dalam peristiwa yang
berlaku di zaman Saidina ‘Umar Al Khattab. Seorang gadis membantah cadangan
ibunya yang meminta agar susu ditambah air, semata-mata kerana takutkan Allah
(yang ghaib). Beliau berkata, ”Walaupun Amirul Mukminin tidak dapat melihat apa
yang kita lakukan, sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa melihat”. Dari keturunan
gadis inilah yang kemudiannya melahirkan Khalifah ‘Umar Abdul Aziz!
Percaya kepada yang ghaib harus dibina bersama-sama amal solat dan zakat
bagi membentuk satu bangunan asas taqwa. Seterusnya setiap individu wajib
beramal dengan segala amal yang terkandung didalam kitab Al Quran. Akhirnya,
kepercayaan kepada adanya hari pembalasan baik dan jahat yang akan melengkapkan
bangunan taqwa dalam diri.
Natijah Kehidupan Tanpa Taqwa
Allah s.w.t. memberi amaran di dalam surah Al-Humazah, ayat 6-9, ”Api dalam
neraka yang dinyalakan Tuhan. Yang (panasnya) naik ke hati. Sesungguhnya api
itu ditutup di atas mereka. Dalam tiang yang memanjang.”
Dikhuatiri jika kita hanya beriman dengan hati dan lisan, tanpa beramal,
kita tidak akan mendapat taufiq dari Allah untuk segera bertaubat. Kita mungkin
akan digolongkan bersama orang kafir dan munafik yang akan dilontarkan ke dalam
neraka yang apinya membakar sampai ke hati, nauzubillah.
Persoalannya kini, adakah kita bersedia untuk menemui Allah dan yakinkah
kita bahawa kita akan lulus cemerlang di Hari Perhitungan dan dibayar ganjaran
syurga?
Janganlah kita berlaku seperti berikut:
”Sehingga ketika maut telah datang kepada seseorang di antara mereka, dia
berkata: Wahai Tuhanku! Kembalikanlah aku! Supaya aku mengerjakan perbuatan
yang baik yang telah aku tinggalkan itu. Tidak. Sesungguhnya perkataan itu
hanya sekadar dapat diucapkan. Di hadapan mereka ada barzakh, dinding yang
membatasi sampai hari mereka dibangkitkan.” ( Al Mukminun : 99-100)
Kesimpulan
Benarlah pesan Allah s.w.t:
”Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan
sebenar-benar taqwa kepadaNya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan
muslim” (Ali-Imran 102)
Taqwa bukan sekadar inti kepada integriti, bahkan taqwa adalah inti kepada
kehidupan seluruhnya. Iman bukan tanda kita sudah bertaqwa. Bahkan bertaqwalah
dengan sebenar-benar taqwa! Akhirnya, janganlah sekali-kali kita mati melainkan
dalam keadaan muslim kerana neraka bukan satu pilihan bagi kita.
Pilihlah Taqwa, nescaya terselamat kita dari api neraka.
PENULIS:
Nama: Norazmi bin Mat Noh
Dept: Operational Performance Improvement
OPU: PP(M)SB
Ketua Jabatan: Norazmi Mat Noh.
Bibliografi
- 7 Formula Individu Cemerlang, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Publications, 2004, Kuala Lumpur,
Malaysia. - ibid.
- ibid.
- ibid.
- Nasihat Agama dan Wasiat Iman, Imam Habib Abdullah Haddad, Pustaka Nasional, 1981, Singapura.





