RSS Feed for This PostCurrent Article

Memahami Kezaliman ISA (13)

Isa2_2
Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan
himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami
hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para
pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini
menerusi abuurwah@gmail.com.

DIJATUHKAN HUKUMAN PADA HARI DITANGKAP

“Kamu Telah Memudaratkan Keselamatan Negara”

Di mana sahaja anda ditahan, pada saat itu jugalah ISA di bawah
peruntukan S.73(1), menurut apa yang dipercayai oleh pihak polis, anda
telah dijatuhkan hukuman.

Pada saat pegawai polis yang membuat tangkapan menggenggam tangan
anda dengan tangannya, beliau akan mengucapkan ungkapan-ungkapan
seolah-olah beliau adalah seorang hakim dengan mengatakan bahawa anda
ditahan kerana “telah memudaratkan keselamatan negara”.

Selepas itu beliau akan menggari anda dan bermula dari saat itulah
bermulanya mimpi ngeri anda, keluarga anda dan mereka yang anda sayangi
dan yang menyayangi anda.

Jika anda ada sedikit bernasib baik, kerana mungkin ditahan di hadapan anak isteri, anda mungkin tidak digari pada saat itu.

Tidak Diberitahu Sebab Mengapa Anda Ditangkap

Anda tidak diberitahu oleh pegawai-pegawai yang menangkap anda pada
masa itu di atas sebab apa anda ditangkap. Mereka hanya memberitahu
bahawa anda telah “memudaratkan keselamatan negara”.

Oleh itu semasa anda dibawa pergi oleh mereka, sama ada dalam
kenderaan anda atau pun kenderaan polis, pasti anda mengenangkan dan
menjangka bahawa anda ditahan tidak lain dan tidak bukan hanyalah
kerana aktiviti anda yang kritikal dan membangkang dasar-dasar yang
dilakukan oleh kerajaan.

Jika anda seorang aktivis sosial dan pejuang kebenaran dan keadilan
serta yakin dengan prinsip-prinsip perjuangan anda, bawalah dan
pertahankanlah sebab-sebab yang anda sangka kenapa anda ditangkap oleh
pegawai-pegawai SB itu sepanjang penahanan 60 hari anda di bawah mereka.

Keyakinan dan sangkaan ini bakal menjadi bekalan yang amat berguna
sepanjang sesi soal-siasat kelak. Keyakinan itu pertahankanlah
sehabis-habisnya. Insya’ Allah, ia adalah teman ceria anda sepanjang
tempoh 60 hari sesi soal-siasat yang meletihkan, membosankan dan
mungkin boleh mematahkan semangat anda.

Dalam Keadaaan Apa Mereka Gemar Menangkap Anda?

Pada ketika anda ditangkap oleh polis, penangkapan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Ada yang ditangkap di kawasan letak kereta hospital, di lapangan
terbang, di bahu lebuh raya selepas adegan kejar mengejar yang penuh
drama atau di dalam rumah anda sendiri.

Biasanya 72 jam atau tiga hari berterusan sebelum anda ditangkap,
pihak SB akan secara berterusan akan memantau seluruh pergerakan anda.

Jika mereka mengunjurkan bahawa anda besar kemungkinan akan berada
di rumah, dan mereka merancang untuk menahan anda di rumah anda, mereka
akan menjadikan penangkapan itu sedramatik dan “se-real” yang boleh.

Dua hari sebelum anda ditangkap ketika anda dan keluarga tidak ada
di rumah, mereka akan datang dan mengambil foto rumah anda dari luar.

Beberapa buah kereta polis, biasanya Proton Wira putih, akan berada
di tepi jalan berdekatan rumah anda. Tujuan operasi ini lebih ditujukan
kepada jiran-jiran di sekeliling anda.

Pihak polis hanya mahu menakut-nakutkan jiran-jiran anda dan memberi
gambaran kepada jiran-jiran anda bahawa anda telah melakukan aktiviti
yang telah memudaratkan keselamatan negara dan amat wajar ditangkap.

Adegan Penangkapan yang Memberi Kejutan Maksimum

Sekiranya mereka telah membuat perancangan untuk anda ditangkap di rumah, mereka akan tetap dengan perancangan tersebut.

Seorang tahanan yang menjangkakan SB menghendakinya memandangkan
ramai rakan-rakannya telah ditangkap, telah pergi menyerah diri kepada
polis. Beliau telah disuruh balik.

Tetapi pada malamnya, sepasukan polis dengan bilangan yang agak
besar telah datang seperti menggempur rumah beliau untuk menangkapnya.

Seorang lagi tahanan yang ditangkap di rumahnya telah diserbu oleh
sejumlah pegawai-pegawai SB yang agak besar bilangannya. Serbuan yang
dibuat seolah-olah mahu menggambarkan kepada isteri, anak-anak dan ibu
bapanya bahawa beliau telah benar-benar melakukan aktiviti yang telah
memudaratkan keselamatan negara, sedangkan selama ini keluarganya tidak
mengetahui atau menyangka beliau ’seganas’ itu!.

Ada antara mereka yang diarah untuk menanggalkan semua pakaiannya di
hadapan isteri, anak-anak dan ibu bapanya, dan ada kalangan
pegawai-pegawai SB yang memanjat ke atas siling rumahnya seolah-olah
mahu mencari sesuatu yang merbahaya yang disembunyikan oleh sang suami!

Seorang tahanan wanita telah ditahan dan dibawa keluar dari rumahnya
pada tengah malam dan meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil untuk
dijaga oleh pembantu rumah, sedangkan suaminya sudah pun terlebih
dahulu ditahan di bawah ISA dan merengkok di Kem Kamunting.

Upacara Menggeledah dan Menggemparkan Keluarga Anda

Jika anda ditangkap di rumah anda, sekumpulan pegawai-pegawai SB akan diarahkan oleh ketuanya untuk menggeledah rumah anda.

Untuk menunjukkan anda terlibat dalam rancangan ’subversif’, sasaran
utama adalah dokumen, fail nota-nota anda serta diari atau buku harian
anda.

Kalau di rumah anda terdapat komputer, mereka akan memasangkan dan
cuba menyalin (copy) beberapa fail daripada komputer anda tersebut.
Biasanya mereka tidak membawa disket dan terpaksalah anda
‘menginfaqkan’ satu dua atau tiga disket kepada pegawai-pegawai SB
tersebut.

Itu pun mujur kalau anda bernasib baik mereka hanya menyalin fail
daripada komputer ke dalam disket yang telah anda infaqkan kepada
mereka.

Jika anda kurang bernasib baik, komputer-komputer anda itu sendiri
diangkat oleh mereka bersama-sama anda sekali!. Tapi apa yang hampir
pasti, jika terdapat komputer ‘laptop’ atau ‘notebook’ di dalam rumah
anda, komputer seperti itu pasti diangkut keluar oleh mereka.

Sekiranya semasa menggeledah itu mereka tidak jumpa apa-apa yang
‘menggemparkan’, mereka akan punggah keluar juga sesuatu walaupun ia
merupakan buku-buku bacaan biasa ataupun tep video atau CD.

Sepanjang pegawai-pegawai SB itu berada di dalam rumah anda tidak
seorang pun ahli keluarga anda atau sesiapa yang berada di dalam rumah
anda dibenarkan keluar. Tiada seorang pun dibenarkan masuk. Semua
panggilan telefon dipantau.

Jika anda memiliki telefon bimbit, alat itu akan mereka pegang. Jika
ada panggilan telefon di rumah anda pada masa itu anda dilarang
mengangkat dan menjawabnya.

Merampas IC dan Pasport Anda

Sebelum anda dibawa keluar rumah, ketua pasukan SB yang memasuki
rumah anda akan memastikan kad pengenalan anda sudah berada di tangan
mereka.

Untuk lebih memudahkan kerja mereka, mereka turut meminta anda
menyerahkan pasport antarabangsa anda jika anda memilikinya. Ini adalah
bagi tujuan mengetahui perjalanan antarabangsa dan negara-negara luar
yang telah anda lawat.

Kalau anda bernasib baik, pegawai-pegawai SB tersebut akan
membenarkan anda memeluk dan mencium isteri dan anak-anak yang anda
kasihi sebelum anda dibawa ke lokasi mimpi ngeri anda!

Dibawa untuk Urusan di Balai Polis

Meninggalkan rumah anda biasanya anda akan dibawa memasuki kereta
rasmi polis. Anda akan duduk di tempat duduk belakang dengan diapit
kanan dan kiri oleh pegawai-pegawai SB.

Paling teruk pada masa itu anda hanya digari. Kalau nasib baik,
kerana tidak mahu mengganggu emosi isteri dan anak-anak anda kononnya,
maka anda tidak akan digari pada masa meninggalkan rumah anda.

Anda akan terus dibawa ke balai polis yang menjadi balai polis utama
yang bertanggungjawab merangkumi kawasan tempat tinggal anda.

Di situ anda akan mengisi beberapa borang, diambil cop jari dan
terpaksa menunggu beberapa jam bagi membolehkan pegawai-pegawai SB yang
memasuki rumah anda tadi merekodkan segala khazanah yang baru saja
dipunggah di rumah anda.

Semasa berurusan di balai polis, bagi merekodkan bahawa tidak
terdapat kesan-kesan tertentu yang baru di anggota badan anda, ketua
pasukan SB yang menangkap anda akan meminta anda menanggalkan pakaian
dalam sebuah bilik.

Anda boleh memprotes untuk tidak membuka pakaian dan cukup menanda
tangan satu borang dengan rajah anggota tubuh manusia dengan mengatakan
tiada kesan atau tanda baru di anggota badan anda.

Sepanjang anda berurusan di balai polis, anda masih dihamburkan
dengan senyuman manis berjela-jela oleh pegawai-pegawai polis yang
menggeledah rumah anda beberapa jam tadi.

Jika anda bernasib baik dan mereka bermurah hati, semasa di balai
polis itu anda akan disajikan oleh mereka dengan teh tarik, kopi o dan
sedikit kuih muih.

Kalau tak bernasib baik tak ada apa-apalah yang anda terima.

Sepanjang tempoh menunggu itu anda akan terasa seolah-olah anda
masih insan bebas yang masih bebas melakukan apa yang anda biasa
lakukan.

Tetapi sebaik saja anda berada di lokasi mimpi ngeri anda,
pegawai-pegawai SB yang tadinya melemparkan senyuman manis panjang
berjela-jela itu tiba-tiba menjadi manusia bengis yang
menengking-nengking, melontarkan kata-kata keji dan hina serta membuat
bermacam-macam ancaman kepada anda.

Bermulanya Perjalanan ke Lokasi Mimpi Ngeri Anda

Setelah urusan anda selesai di balai polis bermulalah babak pertama
dalam perjalanan anda yang gelap gelita seolah-olah tiada penghujungnya
itu. Anda akan digari, dipakaikan penutup mata gelap dan bermula dari
saat itu hidup anda adalah hanya mendengar dan mematuhi arahan :
“tunduk”, “langkah naik”, “masuk lagi”, “duduk”.

Itulah antara yang anda terima untuk menaiki kenderaan yang akan
membawa anda ke lokasi yang dikatakan sebagai : “Bang, kalau tak ada
tempat ini tak aman negara ini”, oleh pengawal-pengawal di situ. Tempat
puaka itu adalah PRC – Police Rehabilitation Centre.

Sepanjang perjalanan itu, jika buat kali pertama anda pasti akan
mengalami keganjilan yang amat sangat. Ini kerana, jika anda berada di
kawasan Kuala Lumpur, anda akan melalui beberapa kali kawasan yang
mengalami kesesakan lalu lintas, selepas itu anda akan merasakan
pecutan yang laju dan seolah-olah jauh, selepas itu beberapa lagi
kawasan sesak dan selepas itu perjalanan yang laju.

Tujuan perjalanan seperti ini bertujuan untuk membuat anda hilang arah dan tidak tahu di mana anda berada.

Sepanjang perjalanan yang mengelirukan itu pastinya anda cenderung
untuk memikirkan tentang nasib yang bakal anda hadapi, anak-anak dan
isteri yang ditinggalkan di rumah.

Saya syorkan, sekiranya anda ditahan ISA dan melalui fakta ini,
luputkanlah kenangan seperti ini. Hilangkan wajah-wajah isteri dan
anak-anak anda daripada ingatan anda buat seketika.

Sebaik-baiknya berbekalkan keyakinan anda bahawa anda ditahan tidak
lain dan tidak bukan disebabkan kerana aktiviti-aktiviti anda yang
menentang penyelewengan dan pencabulan hak asasi yang dilakukan oleh
pemerintah dan buatlah perancangan dengan hujah-hujah untuk
mempertahankan prinsip perjuangan anda.

Manfaatkan perjalanan itu, jika di kawasan Kuala Lumpur pun akan
mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam untuk melakonkan dalam minda
anda apa yang anda akan lakukan semasa soal-siasat bermula nanti.

Jika anda seorang muslim, berzikirlah dan bacalah apa-apa ayat
Al-Quran yang anda hafaz serta berdoa agar Allah melindungi dan memberi
kekuatan kepada anda.

Jika anda seorang penganut mana-mana agama lain, amalkan apa yang
diajarkan oleh agama atau kepercayaan anda yang akan membantu
meningkatkan kekuatan spiritual anda.

Trackback URL



Post a Comment

  • Meta

  • Archives

  •  

    August 2008
    M T W T F S S
    « Jul   Sep »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    25262728293031