RSS Feed for This PostCurrent Article

Memahami Kezaliman ISA (11)

Isa2000_1
Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan
himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami
hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para
pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini
menerusi abuurwah@gmail.com.

TAKUT KERANA TERUS DITAKUT-TAKUTKAN OLEH SB

Kepada aktivis rakyat, ISA bererti kehidupan yang tidak selesa
kerana sering dan berterusan menghadapi ‘harassment’ atau
ditakut-takutkan oleh SB. Kepada aktivis rakyat, mereka sedar bahawa SB
tidak ada kerja lain selain daripada memantau dan mengekori
aktiviti-aktiviti berorientasi politik yang dijalankan oleh aktivis
rakyat.

Tugas SB adalah untuk memaju dan memenangkan aktiviti-aktiviti
politik parti yang memerintah, iaitu UMNO dan BN, dan dalam masa yang
sama menyekat dan menewaskan aktiviti-aktiviti politik parti-parti,
NGO-NGO dan individu-individu yang membangkang parti yang memerintah.

Bagi mereka yang sedang ditahan ISA dan berada di Kem Kamunting,
setiap enam bulan pegawai-pegawai SB akan datang untuk mengutarakan
beberapa persoalan.

Tujuannya adalah untuk memberi tekanan kepada para tahanan bahawa
jika memberi ucapan yang positif dan menunjukkan tanda-tanda telah
‘pulih’ dan ‘insaf’, maka besar kemungkinan mereka akan dibebaskan
cepat.

Pendekatan ini sebenarnya satu ‘harassment’ yang ‘halus’ dilakukan
oleh SB terhadap tahanan ISA. Tidak sedikit tahanan ISA yang sedang
menjalani ‘pemulihan’ di Kem Kamunting termakan dengan ‘harassment’
licik pegawai-pegawai SB ini.

Kepada para tahanan yang sedang berada di Kem Kamunting yang
‘termakan’ dengan ‘harassment’ licik SB ini mengambil pendirian untuk
duduk diam dan tidak melawan.

Mereka tidak mahu mengambil peguam untuk membuat permohonan habeas corpus
di mahkamah. Mereka turut meminta isteri dan kaum keluarga mereka untuk
duduk diam dan tunggu sahaja masa dan ketikanya mereka akan dibebaskan.

Para isteri yang berada di luar juga, jika menunjukkan tanda-tanda
ingin melawan, maka para isteri ini sendiri akan menghadapi
‘harassment’ daripada SB. Ke mana sahaja isteri yang aktif pergi mereka
akan diekori, diambil foto dan disusah-susahkan pergerakan mereka.

Tahanan ISA yang digantung penahanannya di Kem Kamunting dan
dikenakan sekatan kawasan turut menghadapi ‘harassment’ daripada pihak
polis dan SB semasa mereka melaporkan diri setiap minggu di balai
polis. Bagi mereka yang berpotensi atau ‘memiliki kualiti’ untuk
ditahan di bawah ISA, hidup mereka tidak tenteram.

Seringkali mereka terpaksa berhati-hati ketika hendak ke mana-mana
kerana pasti akan diekori. Sering terdapat kereta ‘proton Wira putih’,
parking dekat kawasan rumah atau di tempat mereka menghadiri mesyuarat.
Tidak kurang pula yang perlu lebih berhati-hati apabila bercakap
melalui telefon kerana percaya bahawa telefon mereka kena ‘tapped’.

Tidak sedikit pula di kalangan aktivis yang bertaraf ‘ISA-Quality’
ini diarah melalui panggilan telefon untuk datang ke ibu pejabat atau
balai polis untuk menjawab pelbagai soalan.

Soal-siasat haram ini, yang tujuan utamanya hanyalah untuk melakukan
‘harassment’ terhadap aktivis rakyat, biasanya berjalan berjam-jam
lamanya. Kadang kala, aktivis ini diminta datang lagi, ataupun datang
secara berkala untuk melalui soal-siasat haram ini.

Ramai aktivis rakyat terpaksa melalui ‘harassment’ SB-SB ini demi
mengelakkan ‘harassment’ yang lebih besar dengan bersetuju untuk pergi
ke ibu-ibu pejabat dan balai-balai polis apabila dipanggil.

Kurangnya pengalaman dan kurangnya kesedaran serta pengetahuan
tentang hak-hak mereka menjadikan ramai aktivis akur dengan arahan
haram SB-SB untuk datang dan menjawab soalan-soalan mereka.

‘Harassment’ daripada SB-SB dan kecenderungan kebanyakan aktivis
rakyat untuk tidak melalui kesusahan berhadapan dengan SB-SB inilah
antara sebab ISA menjadi undang-undang yang amat berkuasa untuk
menakut-nakutkan rakyat negara ini.

Di atas segala-galanya, ISA amat digeruni dan ditakuti oleh rakyat
negara ini kerana undang-undang zalim ini membolehkan penahanan
sekurang-kurangnya dua tahun atau mungkin disambung bertahun-tahun atau
berbelas-belas tahun tanpa sebarang perbicaraan.

ISA adalah undang-undang yang menjadikan anda ditahan tanpa bicara
semata-mata di atas keputusan seorang manusia di atas jawatannya
sebagai Menteri Dalam Negeri!!

Trackback URL



Post a Comment

  • Meta

  • Archives

  •  

    August 2008
    M T W T F S S
    « Jul   Sep »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    25262728293031