RSS Feed for This PostCurrent Article

Memahami Kezaliman ISA (9)

Isa2_1
Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan
himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami
hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para
pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini
menerusi abuurwah@gmail.com.

SIAPA YANG JADI MANGSA ISA?
TAKUT MENGHADAPI SOAL-SIASAT DAN PENDERAAN DI BAWAH KUASA POLIS

Sudah menjadi satu tanggapan yang universal bahawa berada dalam
tahanan polis bererti didera, dipukul dan diseksa bagi tujuan mendapat
pengakuan.

Polis dan pasukan keselamatan sering dilihat, bahkan memang
benar-benar menjadi instrumen pihak yang sedang memerintah untuk
menghapuskan sebarang suara sumbang yang cuba mencabar kuasa pemerintah.

Kes-kes penderaan dan penyeksaan mental atau fizikal atau
kedua-duanya sekali ini telah didokumentasikan secara sistematik oleh
badan-badan hak asasi manusia seperti Amnesty International.

Bukti-bukti pula mula timbul tentang penderaan fizikal dan
penyeksaan yang dialami oleh mereka yang ditahan di bawah ISA di atas
tuduhan sebagai anggota Jemaah Islamiah.

Berlakunya secara meluas penyeksaan semasa siasatan polis, penahanan
di bawah pasukan keselamatan dan di kem-kem tahanan perang inilah
antara lain yang mendorong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk
mengisytiharkan Universal Declaration of Human Rights pada tahun 1948
yang secara khusus memperuntukkan artikel berkenaan larangan terhadap
penderaan dan penyeksaan terhadap mana-mana manusia di dunia ini.

Wujudnya Article VII dalam Universal Islamic Declaration of Human Rights pada tahun 1981, iaitu setelah lebih 30 tahun PBB mengisytiharkan Universal Declaration of Human Rights
adalah pengesahan terhadap tanggapan universal bahawa penyeksaan
benar-benar dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap rakyat semasa dalam
siasatan mahupun penahanan.

Dalam konteks ini, penyeksaan tersebut dilakukan terhadap rakyat
yang beragama Islam oleh pihak berkuasa di negara-negara yang
diperintah oleh orang-orang Islam.

Organization of Islamic Conference, OIC, turut mengeluarkan tiga
deklarasi hak asasi sejagat dengan peruntukan tentang larangan terhadap
penyeksaan.

Tindakan OIC ini turut menggambarkan bahawa hak asasi manusia adalah
amat buruk di kalangan negara-negara umat Islam, dan penyeksaan masih
diamalkan secara berleluasa.

Bagi aktivis rakyat yang mengikuti perkembangan politik pemerintah
di seluruh dunia seperti di Iran, di Kemboja, di Afrika Selatan dan di
Indonesia pada masa pemerintahan Soeharto, sudah cukup meyakinkan
bahawa menyeksa para tahanan sudah hampir-hampir menjadi kegilaan polis
dan pihak keselamatan di negara-negara tersebut.

Negara maju yang meletakkan standard bagi hak-hak asasi manusia
seperti Amerika Syarikat sendiri, bukan hanya masih mengamalkan
penyeksaan tetapi melatih pakar-pakar penyeksa dan pasukan-pasukan
polis dan pasukan-pasukan keselamatan untuk menjalankan kegiatan di
negara masing-masing.

William Blum mendedahkan pusat khas di Amerika Syarikat yang melatih
para penyeksa untuk menjalankan kegiatan penyeksaan semasa proses
soal-siasat di negara-negara Amerika Latin.

Bagi aktivis gerakan Islam pula, mengenang pengalaman tokoh-tokoh
dan anggota-anggota Ikhwanul Muslimun di Mesir yang diseksa semasa
regim Gamel Abdel Nasser dahulu memang amat menggerunkan.

Coretan Zainab Al-Ghazali tentang penyeksaan yang dilaluinya semasa
soal-siasat di penjara tentera pastinya menjadikan aktivis gerakan
Islam meyakini bahawa modus operandi yang digunakan oleh polis atau pasukan keselamatan adalah sama sahaja.

Sama ada di Mesir mahupun Malaysia, mendera, menyakiti dan menyeksa
semasa berada dalam soal-siasat polis adalah satu perkara yang memang
diamalkan.

Kegusaran aktivis rakyat di negara ini bahawa polis Malaysia
menggunakan kaedah penyeksaan semasa soal-siasat bukan tidak berasas.

Bahkan disahkan dengan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dipukul
semasa berada dalam tahanan polis, dan yang lebih menyedihkan
dibogelkan oleh pihak polis.

Lebih dahsyat adalah beliau dipukul bukan oleh anggota polis biasa, tetapi beliau dipukul oleh Ketua Polis Negara pada masa itu.

Rakyat Malaysia termangu-mangu memikirkan nasib mereka sendiri jika
berada dalam tangan polis. Seorang yang baru beberapa hari sebelumnya
menjawat kedudukan No. 2 di negara ini pun boleh diperlakukan
sedemikian rupa oleh polis, inikan pula rakyat biasa!

Pada tahun 2003, polis Malaysia turut melakukan kekasaran kepada
rakyat India dengan menampar dan membogelkan mereka. Sebagai tindakan
balas India tarik diri sertai Hoki Piala Azlan Shah.

Fikir sahaja tentang ditahan oleh polis, sudah pasti terbayang
kekerasan dan kekasaran yang akan dialami. Memikirkan disoal-siasat
oleh polis pula, tergambar bermacam-macam tekanan yang pasti dilalui.

Tetapi, apabila mengenangkan disoal-siasat selama 60 hari di bawah
ISA, Ya ISA yang merupakan raja segala undang-undang di negara ini,
pasti aktivis rakyat menjadi bertambah gusar dan gerun.

Rasa gusar dan gerun ini bukan tidak berasas. Kegerunan ini berpijak
di bumi nyata. Dr. Kua Kia Soong telah mengumpulkan bukti-bukti bahawa
terdapat tahanan ISA telah benar-benar diseksa dan didera oleh
pegawai-pegawai semasa soal-siasat 60 hari di bawah ISA di dalam
bukunya.

Para TAPOL di Pusat Tahanan Batu Gajah telah mengeluarkan kenyataan pada 1 Mei 1969 bahawa mereka telah:

  • dalam keadaan digari telah ditendang di bahagian perut dan dihantukkan kepala ke dinding sehingga berdarah.
  • mencucuk jarum ke kuku di jari tangan dan meletakkan pensil di
    celah-celah jari tersebut sebelum ditekan dengan kuat untuk menyakiti
    tahanan.
  • dibakar dengan pemetik api, disakiti dengan ‘rubber band’ dan dimasukkan paku ke dalam lubang kemaluan.
  • diarah membuka seluar dan diperintah untuk duduk di atas botol yang terbuka.
  • di arahkan untuk menanggalkan pakaian dan kemudian diarahkan berdiri di bawah kipas atau aircond sehingga pengsan.
  • dipukul hingga berdarah (oleh FRU yang memasuki kem tahanan tersebut)

Dalam afidavit untuk tujuan habeas corpus pada Oktober 1988, sejak
tahun Operasi Lalang, Yeshua Jamaluddin memberi keterangan bahawa
beliau :

  • tidak dibenarkan tidur secara berterusan berhari-hari lamanya.
  • diserang oleh pegawai-pegawai penyiasat sehingga terjatuh ke
    lantai mencederakan bahagian belakangnya (kesannya beliau kencing
    berdarah).
  • diarahkan untuk menanggalkan semua pakaian dan diarah untuk melakonkan seperti orang disalib di palang salib.
  • diarahkan berdiri sebelah kaki sambil kedua tangan didepakan memegang selipar selama dua jam.

Pada Mac 1989, sesi Parlimen gempar apabila mendengar pendedahan
Abdul Rahman Hamzah, bekas ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak yang
telah diseksa semasa ditahan di bawah ISA. Menurut keterangan tersebut:

  • ditendang, ditumbuk, ditempeleng dan dipukul dengan batang penyapu oleh tujuh orang pegawai penyiasat sehingga pengsan.
  • diarahkan untuk berjalan itik, lompat katak dan merangkak di seluruh bilik, koridor dan bilik air.
  • diarah untuk kencing seperti anjing.
  • dimandikan dengan air sejuk dan diarah berdiri dekat aircond.
  • dipaksa membuat beratus-ratus ‘pumping’ (push-ups).
  • diletakkan sebuah tong (tin) yang menutup seluruh kepalanya dan
    tong (tin) itu dipukul dengan kayu. (Kesan daripada itu kepala dan
    bahagian atas mukanya menjadi bengkak).
  • dicekik dengan tangan dan dipaksa berdiri dengan menarik kepalanya ke atas oleh pegawai penyiasat.
  • dipukul di bahagian pipi dan dagu.
  • dipulas tangan dan dihayun badannya oleh pegawai-pegawai ke arah dinding.
  • melakonkan aksi seks.
  • ‘melastik’ telinga dan puting tetek dengan ‘rubber band’.
  • diperosokkan kepala ke mangkuk tandas yang kotor dan dipam berkali-kali.
  • dicucuk-cucuk badannya dengan mop yang digunakan untuk mencuci tandas.

Dalam era Reformasi, Mior Abdul Razak telah mengeluarkan satu
afidavit pada Februari 1999 mengatakan bahawa beliau telah
ditakut-takutkan dan diancam serta dikasari untuk membuat pengakuan
memfitnah Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Malek Hussein juga membuat laporan polis dan mengeluarkan
afidavit bahawa semasa dalam tahanan ISA pada September 1998 beliau
telah diseksa secara fizikal, dipukul dan dipaksa meminum air kencing
oleh polis.

Dr. Munawar Anees yang ditahan di bawah ISA sebelum penahanan ISA
terhadap aktivis Reformasi yang lain juga telah mengeluarkan pengakuan
bersumpah setebal 36 muka surat menceritakan pengalamannya didera dan
diperlakukan dengan kasar agar membuat pengakuan bagi tujuan
menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri.

Tahanan Reformasi pada April 2001, juga turut mengalami kekasaran
fizikal, tekanan mental dan perasaan, manipulasi psikologi, sesi
‘brainwashing’ berhari-hari lamanya dan pencabulan hak asasi mereka
kerana ditahan sehingga hampir 60 hari semata-mata bagi tujuan
mendengar pendedahan pegawai-pegawai penyiasat perihal ‘kehebatan’
pasukan polis, terutamanya SB.

Dokumentasi penyeksaan dan penderaan yang dilalui oleh tahanan ISA
sama ada melalui aduan kepada badan-badan hak asasi manusia, afidavit,
aduan polis, aduan kepada SUHAKAM, pendedahan dalam representasi dan
bahan-bahan ulangkaji di hadapan Lembaga Penasihat dan buku-buku yang
ditulis sendiri oleh mereka adalah bukti-bukti yang jelas lagi nyata
memang benar-benar berlaku penderaan, kekerasan dan penyeksaan semasa
soal-siasat 60 hari dalam penahanan ISA.

Itulah sebabnya ISA digeruni oleh rakyat negara ini kerana proses
soal-siasat 60 hari tersebut penuh dengan risiko bahawa mereka pun
mungkin akan didera dan diseksa.

Trackback URL



Post a Comment

  • Meta

  • Archives

  •  

    July 2008
    M T W T F S S
    « Jun   Aug »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031