Memahami Kezaliman ISA (8)
By ejsnfauzan on Jul 17, 2008 in Books, Hak Asasi Manusia & Alam, Reality, Religion, Travel, Undang-undang, Weblogs and tagged Akta Keselamatan Dalam Negeri, Internal Security Act (ISA)

Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan
himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami
hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para
pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini
menerusi abuurwah@gmail.com.
SIAPA YANG JADI MANGSA ISA? TAKUT DITAHAN DI KEM KAMUNTING
Kem Tahanan Politik Tersohor Seantero Dunia
Bandar kecil Kamunting di Taiping menjadi terkenal di seluruh dunia
kerana ISA. Nama Kamunting yang menggambarkan satu lokasi pagar berduri
dan concentration campmemang amat menggerunkan.
Kem Kamunting mengingatkan setiap aktivis rakyat sejak empat dekad
dulu lagi bahawa pada bila-bila masa sahaja ia boleh akan dipenjarakan
tanpa bicara di situ.
ISA ditakuti dan digeruni kerana adanya Kem Kamunting. Bahkan penahanan di Kem Kamunting telah menjadi collateral terbesar semasa siasatan 60 hari di bawah kuasa polis.
Penahanan di Kem Kamunting bermula dengan dua tahun. Tetapi
penahanan itu boleh disambung dua tahun, dua tahun, sehingga bila-bila!
Menteri Dalam Negeri hanya perlu menurunkan tandatangannya ke atas
sekeping kertas untuk membolehkan sesuatu perintah tahanan dua tahun
dikuatkuasakan.
Sepanjang soal-siasat 60 hari, menjadi satu kebiasaan bagi
pegawai-pegawai penyiasat untuk mengulang-ulang menyatakan orang yang
ditahan di Kamunting ada yang 2 tahun, ada yang lebih hingga ke 8 dan
12 tahun.
Kem Penderaan Orang-orang Tahanan
Kem Kamunting memberi imej satu lokasi di mana ‘pengganas-pengganas’
komunis telah ditahan bertahun-tahun. Ada pula yang berbelas-belas
tahun untuk memulihkan mereka. Kehidupan di Kem Kamunting tidak ubah
seperti kem tawanan perang.
Pada tahun 60an dan 70an, mereka yang ditahan di Kem Kamunting
melebihi 1,000 orang. Mereka bercucuk tanam, mengendalikan makan minum
sendiri, tandas tong serta menguruskan pelupusan najis mereka sendiri.
Tidak kurang pula yang menjadikan najis buangan mereka sebagai baja bagi tanaman yang mereka usahakan itu.
Pada hujung 70an atau awal 80an juga Kem Kamunting menjadi tempat
mendera tahanan. Terdapat ketika tertentu orang tahanan dikunci dalam
sel-sel mereka dan hanya dibenarkan keluar untuk dua jam sahaja setiap
hari untuk tujuan bersenam.
TAPOL – Tahanan Politik
Selain daripada mereka yang dikatakan sebagai pengganas komunis, Kem
Kamunting turut menjadi tempat memenjarakan TAPOL, ataupun tahanan
politik.
Semasa tahanan beramai-ramai dalam Operasi Lalang pada tahun 1987, para TAPOL merasakan mereka dikurung seperti tahanan di concentration camp dan ditempatkan dalam blok penjara seumpama Long Kesh Prison Camp di Ireland Utara.
Mengenangkan Kem Kamunting sebagai tempat tahanan setanding dengan Long Keshatau Maze Prison di Ireland Utara, atau seperti Robben Island di Afrika Selatan ataupun seperti Alcatraz di San Francisco Bay inilah yang menambahkan kegerunanan aktivis rakyat di negara ini bila diingatkan tentang ISA.
Gerun kerana Memikirkan Mungkin Ditahan Bertahun-tahun Lamanya
Kem Kamunting mengingatkan aktivis rakyat tentang hidup terpenjara dan kehidupan yang telah dirampas kebebasan diri.
Kegerunan ini bertambah meningkat apabila memikirkan sesiapa sahaja
boleh ditahan dan dipenjara bertahun-tahun tanpa perlu dihadapkan ke
mahkamah dan tanpa melalui proses perbicaraan.
Bagi TAPOL, Kem Kamunting adalah pusat terhimpunnya segala kezaliman
yang turut dialami oleh tahanan-tahanan politik di tempat-tempat lain
di dunia.
Seperti apa yang dirasakan oleh Mumia Abu Jamal, seorang tahanan
politik berkulit hitam di Amerika Syarikat apabila beliau mengatakan:
“Distrust anyone in whom the desire to punish is powerful”.
Atau tahanan politik kaum Red Indian di Amerika Syarikat,
Leonard Peltier dengan luahan hatinya: “Innocence is the weakest
defense. Innocence has a single voice that can only say over and over
again, ‘I didn’t do it’. Guilt has a thousand voices, all of them lie”
dan menambah: “It seems it’s always the innocence who pays the highest
price for injustice”.
Mumia turut menambah: “Under the government that imprisons any men
unjustly, the true place for a just man is also a prison”. Mumia turut
meluahkan: “We are all robbed of our innocence and are therefore all
condemned to guilt”.
Suara TAPOL Suara Sejagat
Sama ada dihumban ke Kem Kamunting ataupun dipenjarakan di Amerika Syarikat, bagi TAPOL laungan suaranya tetap sama.
Leonard Peltier berkata: “Since you can never believe anything the
government says, it’s impossible to trust a single piece of their
evidence”. Apatah lagi penahanan TAPOL di Malaysia dilakukan tanpa
perbicaraan dan TAPOL hanya dibekalkan dengan alasan-alasan tahanan
yang penuh dengan fitnah, dusta dan penipuan.
Demikian juga TAPOL di negara China pada satu masa dahulu, Wei
Jingsheng berkata: “It later became apparent to me that everything they
had said was a lie from start to finish”.
Beliau menambah: “I had also adopted a new bias: unless there was
solid evidence to convince me otherwise, I would regard all power
holders as ruthless people lacking in conscience who had built their
success on other’s misfortune”.
Ya! ISA ditakuti dan digeruni kerana ia adalah satu instrumen yang
digunakan untuk mengekalkan status quo kuasa parti yang memerintah yang
tidak mempedulikan persoalan maruah untuk menghumban sesiapa sahaja
yang menentang atau mencabar status quo tersebut ke Kem Kamunting bertahun-tahun atau berbelas-belas tahun lamanya.





