RSS Feed for This PostCurrent Article

Memahami Kezaliman ISA (10)

Isa_1
Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan
himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami
hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para
pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini
menerusi abuurwah@gmail.com.

TAKUT KERANA TIDAK DAPAT PEMBELAAN JIKA KES DIBAWA KE MAHKAMAH

Sejak bermulanya ISA, pihak pemerintah telah mempertahankan bahawa
satu-satunya hakim dan penentu dalam hal-ehwal keselamatan negara
adalah pihak pemerintah sendiri.

Pihak pemerintah yang membuat keputusan untuk menangkap seseorang
dan menahannya untuk beberapa tahun di Kem Kamunting jika pihak
pemerintah berpuas hati bahawa dengan menahan orang tersebut boleh
mengelakkan ia daripada terus mengancam keselamatan negara.

Keputusan menahan orang tersebut adalah hak mutlak pemerintah di
bawah kuasa Menteri Dalam Negeri, bukan hak mahkamah. Hakim dalam
urusan keselamatan negara adalah Menteri Dalam Negeri, bukan hakim
dalam mahkamah terbuka.

Realiti ini diketahui dengan jelas oleh aktivis rakyat. Mahkamah
bukan tempat untuk mengadu nasib kalau anda ditahan di bawah ISA. Ramai
para TAPOL telah mengemukakan writ habeas corpus di mahkamah dengan pelbagai hujah-hujah baru, namun tahap kejayaannya boleh dikatakan sifar!

Permohonan habeas corpus bukanlah perkara baru di
negeri-negeri Melayu. Sejak tahun 1920an lagi menjadi kebiasaan bagi
rakyat untuk mengemukakan permohonan habeas corpus apabila penahanan dilakukan oleh pihak pemerintah.

Menjelang tahun 1930, penahanan seseorang itu tidak boleh dianggap
tidak betul atau tidak sah sekiranya penahanan tersebut tidak dapat
dicabar melalui permohonan habeas corpus.

Peraturan ini terus diamalkan termasuk apabila satu-satu bekas tanah
jajahan British, iaitu India, di mana hakim-hakim di tujuh buah negeri
di India meluluskan permohonan habeas corpus 43 orang yang ditahan di bawah kuasa undang-undang darurat semasa pemerintahan Indira Gandhi di antara tahun 1975 dan 1977.

Dalam rayuan kerajaan di atas ketulusan hakim-hakim ini, ketua hakim
negara India pada masa itu enggan mengubah apa yang telah diputuskan
oleh hakim-hakim mahkamah di tujuh negeri tersebut.

Di negara ini, selepas sembilan tahun ISA dikuatkuasakan, mahkamah telah membuat ketetapan dalam kes Karam Singh v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
bahawa keputusan dan tindakan Menteri dan polis dalam menguatkuasakan
peruntukan-peruntukan dalam ISA adalah bersifat subjektif.

Oleh itu mahkamah tidak boleh menilainya serta mengemukakan
bukti-bukti yang objektif dikemukakan oleh pihak berkuasa di atas
penangkapan dan penahanan yang dibuat.

Setelah keputusan dibuat dalam kes Karam Singh ini, sebarang
usaha oleh mana-mana hakim untuk membuat keputusan selain daripada apa
yang ditetapkan pasti akan diketepikan di mahkamah rayuan.

Kes Karam Singh adalah satu penghalang terbesar kepada mana-mana tahanan ISA untuk mendapatkan kebebasannya melalui permohonan habeas corpus di mahkamah.

Antara kes yang cuba beralih daripada ketetapan dalam kes Karam Singh adalah kes Karpal Singh v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Dalam kes Karpal Singh, Mahkamah Tinggi telah meluluskan permohonan habeas corpus dan membebaskannya.

Namun kerajaan telah bertindak pantas. Dalam perjalanannya pulang ke
rumahnya Karpal Singh telah ditangkap semula dan telah ditahan dengan
perintah tahanan yang baru selama dua tahun.

Kes Lim Kit Siang & Ors v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pula melalui proses yang lebih dramatik. Permohonan habeas corpus kes Lim Kit Siang sepatutnya di bawa ke mahkamah pada 13 Julai 1988.

Pindaan ISA diluluskan oleh sesi khas Dewan Negara pada 10 Julai
1988. Pindaan ini dipersetujui oleh Yang Di Pertuan Agong pada 14 Julai
1988 dan digazetkan sebagai undang-undang pada 15 Julai 1988 tepat jam
12.01 tengahari!

Sementara itu mahkamah meluluskan permohonan Pejabat Peguam Negara agar perbicaraan habeas corpus yang dijadualkan pada 13 Julai 1988 ditangguhkan ke 14 Julai 1988.

Lim Kit Siang dan rakan-rakannya yang lain yang ditahan dalam Operasi Lalang ISA itu gagal dalam permohonan habeas corpus mereka.

Selepas pindaan 1988, satu lagi pindaan dibuat terhadap ISA pada
tahun 1989. Seksyen baru dimuatkan bagi menghalang sebarang penilaian
mahkamah dilakukan terhadap penangkapan dan penahanan ISA.

Selepas pindaan ISA pada 1989, hanya perkara-perkara yang berkaitan
dengan peraturan dan prosedur sahaja yang boleh dicabar di mahkamah.
Dengan dua pindaan tersebut, hampir semua ruang ditutup untuk mencabar
ISA di mahkamah.

Walau bagaimanapun, kes tahanan reformasi dalam kes Abdul Ghani Haroon & Anor v. Ketua Polis Negara dan kes Mohd Ezam & Ors v. Ketua Polis Negara sesuatu yang menarik boleh dikatakan berlaku dalam kes kuasa subjektif penangkapan di bawah ISA.

Namun dalam kes Nasharuddin Nasir v. Ketua Polis Negara,
pihak kerajaan mengulang semula apa yang biasa dilakukan sebelum ini
dengan menahan semula mereka yang telah dibebaskan oleh mahkamah kerana
memenangi kes habeas corpus mereka.

Namun setelah keputusan kes Mohd Ezam, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan hakim dalam
urusan keselamatan negara adalah pihak eksekutif (pemerintah) dan
bukannya mahkamah.

Hujahnya: “This is because the court is not able, in all fairness,
to decide on matters pertaining to national security. The security of
this country is the absolute right of the Executive. This must be
stated clearly in the law”. Untuk itu peruntukan-peruntukan ISA akan
dipinda bagi memberi kuasa mutlak ini kepada pemerintah.

Selepas keputusan habeas corpus Nasharuddin Nasir, Kerajaan
turut akan memperketatkan lagi ISA. Kenyataan Timbalan Menteri Dalam
Negeri bahawa jika mahkamah bebaskan tahanan, polis boleh tangkap
mereka semula apabila ditanya oleh isteri-isteri tahanan ISA adalah
satu kenyataan yang menunjukkan keangkuhan pemerintah.

Trackback URL



Post a Comment

  • Meta

  • Archives

  •  

    July 2008
    M T W T F S S
    « Jun   Aug »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031