Memahami kezaliman ISA (1)
By ejsnfauzan on Jun 28, 2008 in Hak Asasi Manusia & Alam, Reality, Religion, Travel, Undang-undang, Weblogs and tagged Akta Keselamatan Dalam Negeri, Internal Security Act (ISA)
Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan
himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami
hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para
pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini
menerusi abuurwah@gmail.com.
APA ITU ISA?
Satu daripada Undang-undang Penahanan Tanpa Bicara
ISA, Internal Security Act atau Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah
satu daripada tiga undang-undang utama di negara ini yang membolehkan
penahanan tanpa bicara. Memandangkan kuasa penangkapan dan penahanan
yang begitu luas dan sewenang-wenangnya itu, di antara tiga
undang-undang ini, ISA adalah undang-undang yang paling digeruni dan
dibenci di negara ini.
Bagi mereka yang pernah menjadi mangsa ISA, mereka menegaskan bahawa
ISA adalah instrumen yang digunakan oleh pemerintah untuk
menakut-nakutkan aktivis-aktivis sosial, pengkritik kerajaan dan
ahli-ahli politik pembangkang.
ISA juga dilihat sebagai instrumen dan perkakas yang digunakan oleh
pihak yang berkuasa untuk menindas dan menyeksa mereka yang menentang
dasar-dasar kerajaan. Kepada pihak yang menguatkuasakan ISA, khususnya
polis Cawangan Khas, atau Special Branch (SB), mereka dengan penuh
angkuh mengatakan bahawa kalau tiada ISA sudah lama negara ini hancur!
Bagi mereka, ISA benar-benar digunakan untuk menjaga keselamatan
negara!! Bahkan, menurut mereka ISA adalah satu undang-undang yang amat
istimewa. Ini kerana ISA boleh digunakan sebaik sahaja seseorang itu
baru sahaja berniat untuk melakukan perkara yang akan memudaratkan
keselamatan negara.
Kata mereka, ISA dapat mengelakkan negara daripada menanggung
ancaman keselamatan daripada sesiapa sahaja yang berniat mahu
merosakkan negara. Bahkan pihak SB menegaskan bahawa gabungan pakatan
ASEAN dan ISA adalah sistem dan undang-undang yang menjamin keselamatan
negara. Di mana pakatan ASEAN menghalang kemasukan musuh dari luar dan
ISA pula mengusir anasir-anasir luar yang sudah berada dalam negara
untuk keluar meninggalkan negara ini.
ISA adalah Instrumen Politik
Semasa menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr. Rais Yatim mempertahankan dan menegaskan bahawa ISA telah
menyelamatkan negara daripada banyak malapetaka. Menurutnya
kebijaksanaan kerajaan melaksanakan ISA telah terbukti dari dulu hingga
kini.
Semasa menjadi Setiausaha Politik Dr Mahathir, Datuk Dusuki Ahmad dalam sebuah rencana politik pula menyatakan:
“Orang bertanya: Apakah rahsia Malaysia sehingga kini berjaya
mencapai tahap negara membangun yang paling maju. Rakyatnya gembira dan
riang, negara aman makmur. Tidak ada perbalahan besar berlaku di
kalangan penduduk yang berbilang kaum, budaya dan agama. Semua rakyat
sayangkan negara ini. Mereka mahu hidup di bumi ini dan kalau boleh,
mati pun mahu di sini.
Tidak kedengaran rakyat Malaysia berhijrah ke Indonesia, Filipina,
Thailand, Bangladesh, India atau China kerana mencari sesuap nasi.
Sebaliknya, rakyat negara-negara itu pula berebut-rebut mahu
berhijrah ke Malaysia. Sehingga hari ini, lebih dua juta rakyat
Indonesia berada di Malaysia.
Malaysia negara kecil saja. Bumi dan udaranya sama dengan Indonesia,
Thailand dan Filipina. Fizikal orangnya pun serupa. Bahkan dari segi
hasil bumi, negara-negara tersebut lebih kaya dari Malaysia. tetapi apa
rahsianya Malaysia menjadi destinasi pilihan rakyat asing mencari
rezeki?
Jawabnya pendek saja, iaitu kami di Malaysia mempunyai ISA. Akta
inilah yang menyelamatkan negara daripada tersungkur ke lembah
pergolakan yang ditimbulkan oleh anasir-anasir yang ingin mencetuskan
huru-hara di kalangan rakyat.”
Berdolak-dalik tentang ISA
Apa itu ISA seolah-olah terletak jawapannya di sebelah pihak mana
anda berada! Semasa Datuk Seri Dr. Rais Yatim berada dalam pembangkang
dan menjadi salah seorang pemimpin terulung Parti Melayu Semangat 46,
beliau dengan lantang menegaskan:
“The ISA does not speak well for the future of the rule of law in
Malaysia. In fact it is the main adversary of the rule of law. The
abolition of the ISA is imperative.”
Dengan menggunakan perkataan ‘imperative’ di atas bermaksud, Datuk
Seri Dr. Rais Yatim menegaskan bahawa pemansuhan ISA adalah perkara
wajib yang mendesak dan mesti dilakukan segera!.
Namun setelah berada dalam kerajaan dan secara de facto menjadi
menteri undang-undang, sebagaimana yang dilaporkan dalam New Straits
Times, 20 November 2002. telah menegaskan: “ISA has saved nation from
many disasters”
Setelah Mahkamah Persekutuan pada 6 September 2002 memutuskan
penahanan aktivis Reformasi pada 10 April 2001 sebagai bermotif
politik, tidak sah dan mala fide, maka Dr. Rais mengeluarkan kenyataan
bahawa peruntukan-peruntukan dalam ISA akan dipinda bagi memberikan
kuasa penuh dan mutlak (absolute power) kepada kerajaan dalam hal-hal
yang berkaitan dengan keselamatan negara.
Tuduhan Palsu demi Menghalalkan Tindakan Rakus
ISA dilihat sebagai satu instrumen yang pasti akan digunakan oleh
pemerintah demi mempertahankan kuasanya. Tun Mahathir semasa menjadi
Perdana Menteri pernah menegaskan sekiranya parti pembangkang berkuasa
mereka juga pasti akan menggunakan ISA.
Terdapat beberapa tahanan ISA juga turut diberitahu oleh
pegawai-pegawai penyiasat mereka bahawa sekiranya pembangkang
memerintah, pasti ISA akan terus digunakan dan tugas mereka tetap
kepada siapa yang memerintah pada masa itu.
Namun tanggapan-tanggapan seumpama ini adalah rekaan mereka yang
sedang menggunakan ISA semata-mata demi melindungi ketidaktelusan
amalan mereka dan hanya kerana mahu melindungi kuasa mereka.
Saya percaya bahawa pejuang-pejuang tulen keadilan dan kebenaran,
sama ada mereka tidak punyai kuasa untuk memerintah dan mentadbir
negara mahupun selepas mereka diamanahkan dengan kuasa untuk memerintah
dan mentadbir urusan rakyat, mereka tetap menegaskan bahawa ISA adalah
satu undang-undang yang zalim dan kejam.
ISA Mencabul Hak Asasi Manusia
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan
bahawa apa sahaja pindaan dan perubahan yang dilakukan terhadap ISA,
selagi ISA kekal sebagai ISA, ianya adalah menyalahi dan mencabuli hak
asasi manusia.
Mursyidul Am PAS itu dalam ucapannya di Kota Bharu menjelaskan
bahawa kerana ISAlah beliau menceburkan diri dalam politik. Ini kerana
pada masa itu ramai para ulamak ditahan di bawah ISA. Dengan keinsafan
untuk terus menentang kezaliman beliau bergiat aktif dalam PAS. Hingga
kini terbukti PAS amat komited untuk menerajui segala usaha ke arah
pemansuhan ISA.
Kepada pendukung dan pejuang-pejuang kebenaran dan keadilan apabila
ditanya apa itu ISA? Mereka akan menjawab ISA adalah undang-undang
zalim yang bertentangan dengan prinsip-prinsip agama dan mencabul
hak-hak asasi manusia!







2 Comment(s)
By Fgwpwmyb on Dec 2, 2008 | Reply
Good luck,
By Ypnifzdk on Dec 2, 2008 | Reply
nice site,